JADIKAN ALQURAN SEBAGAI PANDUAN UNTUK MEMILIH PEMIMPIN

Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW. Ianya juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, Selain itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah SWT. Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang hanya dibungkus kemas untuk dipamerkan atau untuk melariskan jualan atau memagari rumah dan sebagainya.  Tetapi hakikat sebenarnya Al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan disamping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.

Sebagai rakyat Malaysia yang beragama islam dimana islam adalah merupakan agama rasmi di negara kita, adalah menjadi kewajiban kita menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam membuat pemilihan seorang pemimpin. Lebih-lebih lagi, kita semakin hampir menuju ke pilihanraya umum ke-14. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Unit Risikan Infomasi SIRC iaitu SIRC Intelligence Research Team, ianya mendapati ramai rakyat di Malaysia terutama golongan belia mengatakan bahawa mereka keliru untuk memilih calon pemimpin pada pilihanraya yang akan datang. Ada dikalangan rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka tidak mahu pergi mengundi kerana semakin hari semakin keliru dengan sketsa politik yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin politik sehinggakan mereka berasa keliru pihak mana satu yang betul dan pihak mana pula yang salah. 

Jika hendak dikatakan pemimpin-pemimpin daripada parti pembangkang bersih,jujur,amanah dan bebas rasuah, ianya tidak menunjukkan begitu kerana banyak pula kes rasuah melibatkan pihak pembangkang berlaku sejak akhir-akhir ini. Jika hendak dikatakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional bersih,jujur dan amanah, ianya tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana banyak dakwaan pihak pembangkang terhadap penyelewengan pemimpin kerajaan tidak dijawab oleh pemimpin kerajaan di atas dakwaan tersebut. Maka itu, ianya telah menimbulkan kekeliruan kepada rakyat untuk membuat pemilihan calon pemimpin pada pilihanraya yang akan datang.

Oleh sebab itu, bagi merungkai kekeliruan tersebut, maka perlulah kita rakyat Malaysia yang beragama islam berbalik kepada ajaran islam. Ianya telah digariskan panduan untuk memilih calon yang memenuhi syarat kepimpinan dalam islam. Di dalam Al-Quran juga telah dinyatakan kriteria-kriteria pemimpin menurut islam. Umat Islam wajib memilih pemimpin yang mempunyai kriterian pemimpin islam sebagaimana yang ditetapkan dalam Al-Quran. Kriteria seorang pemimpin islam sebagai mana yang ditetapkan dalam Al-Quran ialah Beriman & Beramal Soleh, Niat Yang Lurus, Laki-Laki, Tidak Meminta Jabatan, Berpegang Kepada Hukum Allah SWT, Memutuskan Perkara Dengan Adil, Menasihati Rakyat, Tidak Menerima Hadiah (Rasuah/Imbuhan), Lemah Lembut dan Tegas.

Firman Allah Ta'ala: 

"Mereka takut kepada Tuhan mereka yang berkuasa di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan".(An-Nur:50) 

Memimpin Dengan Kitabullah Dan Sunnah Nabi SAW

"Sekalipun hanya seorang hamba yang dijadikan pemimpin yang memerintah kamu tetapi sesuai dengan kitabullah maka hendaklah kamu dengar dan mentaatinya".(HR Muslim no.1838) 

"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,maka mereka itulah orang-orang kafir".(QS.Al-Maidah:44) 

"Sesiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah,maka mereka itulah orang yang fasik".(Al-Maidah:47) 

Sehubungan itu, untuk membuat keputusan calon manakah yang harus di undi pada pilihanraya yang akan datang, rakyat Malaysia khususnya yang beragama islam, diwajibkan mengikut panduan yang ditetapkan di dalam Al-Quran bagi membuat pemilihan pemimpin. Pilih dan undilah pemimpin yang menepati syarat-syarat kepimpinan dalam islam dan undilah calon yang memenuhi kriteria seorang pemimpin menurut islam.

Ini kerana, kita sebagai umat islam yang mengaku beriman dengan kitab suci Al-Quran, wajib menjadikan Al-Quran rujukan utama dalam kehidupan termasuklah menjadikannya sebagai panduan dan rujukan di dalam membuat pemilihan calon pemimpin Negara atau Negeri.


AYIESYAM,
Pengarah Strategik SIRC
Merangkap Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM)

Comments