FAKTOR CALON PENENTU KEMENANGAN PRU-14 :-AYIESYAM
Dalam masyarakat berbilang bangsa dan latar belakang seperti Malaysia, kriteria calon akhir-akhir ini dijadikan ukuran pertama walaupun hanya mewakili bahagian kecil berbanding parti. Disebabkan itu, parti-parti politik mula menyedari pentingnya bersatu dalam satu barisan yang menggabungkan pelbagai kaum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Bagi PRU kali ini, penggunaan medium teknologi maklumat (IT) atau E-Kempen semakin meluas dalam kalangan yang bakal bertanding. Kos yang murah tetapi efektif. Penggunaan IT termasuk aplikasi WhatsApp mampu memperkenalkan calon. Difahamkan penggunaan telefon pintar di Malaysia mencecah 11 juta dengan kadar pertumbuhan tahunan 10 peratus dari tahun 2013 hingga 2017. Menurut kajian Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTM lebih 75 peratus pengguna internet menggunakan rangkaian sosial media kebanyakan seimbang lelaki dan wanita seperti Facebook, Instagram,Twitter dan Linkedln.
Berdasarkan Political Environment ketika ini, faktor calon cukup penting bagi menentukan kemenangan sesebuah parti politik dalam pilihanraya yang akan datang. Namun begitu, pada masa sama pengundi juga mahu tahu apakah manifesto atau akujanji yang boleh ditawarkan kepada pengundi. Manifesto memberi makna perakuan atau janji yang perlu dikemukakan dalam mana-mana pilihan raya.Contohnya dalam PRU 2008, pembangkang mempunyai manifesto yang mampu menarik perhatian rakyat dan ini telah memberi kemenangan kepada mereka di beberapa buah negeri. Menurut kajian yang dijalankan oleh Ilham Centre (2013) ke atas 602 sampel pengundi berdaftar di N20 Sungai Limau mengenai pola pengundian dalam pilihan raya kecil di situ mendapati PAS dijangka menang dan bertahan dengan majoriti lebih kecil. Berdasarkan dapatan kajian pengundi N20 Sungai Limau cukup tegar dan setia di atas faktor identifikasi parti mengatasi faktor-faktor lain. Faktor parti menyumbang 81 peratus diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon 12 peratus dan faktor isu kempen hanya 4 peratus sahaja.
Terdapat dua perkara penting yang harus diteliti mengenai nilai-nilai seseorang calon. Pertama, soal integriti dan kedua, kualiti kepemimpinan. Nilai ini dapat dijadikan garis panduan kepada pilihan seseorang. Bagi sesetengah orang, mengenali calon adalah dorongan dalam menjelaskan hubungan mengenali parti yang diwakili. Namun ada yang mengaitkan parti dengan calon dan menganggapnya sebagai dorongan untuk dipilih. Para penganalisis dan pengkritik politik bagaimanapun mempersoalkan hubungan itu. Ini kerana belum tentu orang yang menyukai parti akan memilih calonnya atau memilih calon bukan kerana parti. Ada yang memilih calon kerana bangsa. Ada juga yang sudah tertanam dalam diri akan memilih berdasarkan parti. Dan mereka ini adalah apa yang digelar sebagai pengikut tegar atau Hardcore Followers.
Jika pemilihan berdasarkan calon, pastikan calon adalah seorang yang berwibawa serta kuat menyokong dasar parti yang diwakilinya. Jika memilih berdasarkan parti, seseorang perlu mengenal pasti apa yang diinginkan daripada parti tersebut dapat lakukan seperti polisi atau dasar negara yang memerlukan suara majoriti dalam Parlimen. Pemiilihan calon PRU-14 mesti dibuat berpandukan pemikiran dan pertimbangan yang logik serta realistik, berdasarkan informasi & pengetahuan serta memilih dengan pertimbangan untung dan ruginya. Dalam menilai seorang calon, kualiti yang penting adalah tindakan yang diyakini pemilih akan direalisasikan oleh calon apabila dia menang nanti. Personaliti calon harus seiring dengan kualiti parti atau pengenalan simbol yang berkaitan dengan kejujuran, kewibawaan dan ketaatan. Pengundi tentu mempunyai kemampuan untuk menilai isu-isu politik semasa.
Cabaran parti politik dalam PRU-14 ialah kepada usaha untuk memenangi hati & menarik sokongan pengundi muda. Kelompok ini bermaklumat, berfikiran kritis serta mahukan pelbagai perkara dan sukar untuk difahami apakah sebenar kehendak mereka.
Oleh itu, setiap parti perlu berada dalam Election Mode dan mula mengenal pasti calon berwibawa yang boleh mewakili parti masing-masing.
AYIESYAM
Pengarah Strategik
Strategic Intelligence Research Consultant
Comments