KESAN LANGSUNG KETIDAKTENTUAN HARGA MINYAK
1. Secara asasnya, harga komoditi global khususnya minyak mentah ditentukan oleh keseimbangan penawaran dan permintaan. Seandainya keperluan terhadap produk petroleum meningkat, permintaan terhadap minyak mentah turut akan meningkat sehingga mampu memberi kesan kepada pergerakan harga minyak mentah global.
2. Secara pastinya tiada siapa yang gembira harga petrol dan diesel naik. Malah kebiasaannya rakyat akan menuding jari menyalahkan pihak kerajaan sekiranya turut menaikkan harga petrol dan diesel bagi kegunaan harian para pengguna domestik. Langkah yang tidak popular ini akan dilihat sebagai menyusahkan dan membebankan rakyat, lantas ada yang sanggup bertindak menentang kerajaan bagi menyuarakan rasa ketidakpuasan hati masing-masing hanya kerana kenaikan harga komoditi ini.
3. Benar, rakyat akan terbeban dengan kenaikan harga minyak terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang bukan saja terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat akibat kenaikan harga bahan bakar dan tenaga, termasuklah juga penambahan kos makanan dan perkhidmatan yang menyusul tetapi kerajaan bagi mana-mana negara sekalipun tidak bermaksud untuk membebankan rakyat mereka dengan sengaja.
4. Lihat pada tahun lepas 2016, Harga minyak mentah telah mengalami penyusutan secara mendadak dari paras USD115.06 pada Jun 2014 ke USD27 setong pada Januari 2016, paras terendah dalam tempoh 13 tahun. Hal ini terjadi ekoran kegagalan negara-negara pengeksport minyak utama dunia OPEC dan bukan OPEC untuk mencapai kata sepakat bagi menentukan had pengeluaran minyak mentah harian masing-masing. Keadaan ini dirumitkan lagi dengan kedegilan negara-negara OPEC seperti Arab Saudi dan Iran yang enggan bekerjasama dalam usaha menstabilkan kembali harga komoditi tersebut di pasaran.
5. Saya senaraikan 7 faktor yang akan mempengaruhi harga minyak tahun 2017. Senarai ini adalah seperti yang diterbitkan oleh US Energy Information Administration (EIA) :
a) Pengeluaran OPEC
b)Pengeluaran Non-OPEC
c) Spot Prices
d) Inventori
e) Permintaan OECD
f) Permintaan Non-OECD
g) Pasaran Kewangan
6. Oleh itu, turun naik harga minyak jelas mempelihatkan bahawa harga komoditi dunia ini adalah di luar kawalan Malaysia dan sebaliknya ditentukan oleh pengeluar-pengeluar minyak utama dunia sekalipun Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak. Tambahan pula, Malaysia bukanlah sebahagian daripada negara anggota OPEC kerana negara lebih banyak mengimport minyak berbanding mengeksportnya bagi memenuhi keperluan pasaran domestik yang meningkat saban hari.
7. Malaysia dikatakan akan kehilangan sekitar RM300-RM400 juta bagi setiap USD1 kejatuhan harga minyak di peringkat global sekaligus mampu melonjakkan defisit terhadap belanjawan negara. Selain itu, hasil syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) turut terjejas)\ apabila \pnurunan harga minyak dunia berlaku. Pada tahun 2014/2015, hasil PETRONAS mengalami kemerosotan sebanyak 25%iaitu RM 39.1 Billion pada tahun 2014 kepada RM247.7 bilion pada 2015. Walaupun begitu Petronas mampu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.8 bilion berbanding RM47.6 bilion bagi tempoh yang sama. Jelas, ketidaktentuan pasaran minyak global telah memberi kesan negatif kepada operasi domestik dan antarabangsa Petronas, sehingga terpaksa melakukan penstrukturan semula syarikat dan telah menyebabkan pemberhentian kira-kira 1,000 pekerja.
8. Namun begitu, rakyat tidak perlu gusar dan khuatir kerana Petronas masih komited untuk membayar dividen kepada kerajaan. Pada tahun 2016 sebanyak RM16 bilion telah dibayar oleh Petronas kepada kerajaan. sekalipun unjuran harga minyak mentah global bagi tahun itu kekal rendah. Hasil dividen tersebut, ianya dapat di manfaatkan untuk faedah rakyat kerana dana tersebut akan membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur seperti membina lebih banyak sekolah, perumahan mampu milik, masjid, hospital, universiti, jalan raya, jambatan dan lain-lain. Hal ini sudah pasti akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.
9. Ketidaktentuan harga merupakan satu fenomena yang biasa bagi komoditi dunia seperti minyak mentah kerana perkara ini turut terjadi terhadap komoditi-komoditi lain seperti getah dan kelapa sawit. Namun, dalam keadaan ekonomi semasa, setiap sen dan ringgit menjadi sangat bermakna kepada negara. Tindakan kerajaan adalah penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan negara dalam jangka panjang.
Sekian, Wassalam
AYIESYAM
Pengarah Strategik
Strategic Intelligence Research Consultant
Comments