KEWUJUDAN BUNIAN, WAJIB KE ATAS UMAT ISLAM MEMPERCAYAI ALAM GHAIB

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Bunian?


Bunian adalah istilah yang digunakan oleh masyarakat melayu merujuk kepada makhluk halus yang tinggal di perkampungannya berhampiran dengan manusia. Bunian kebanyakkannya adalah jin islam dan ada sebahagian daripada bunian adalah jin kafir.

Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk . Dalam kamus arab tidak terdapat perkataan bunian.

Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.

Untuk pengetahuan umum,makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.

Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian di dalam masyarakat melayu dahulu kala. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.

Sebagai umat islam,kita diwajibkan  mempercayai alam ghaib Kerana ianya merupakan salah satu daripada rukun iman.bunian ini adalah makhluk halus.Makhluk halus berupa jin. Terdapat hadis Nabi SAW menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.


Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi SAW menceritakan kehilangan Khurafah.

Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.

Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. 

Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata,

"Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."


Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi SAW, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi SAW menyebut (maksudnya),

"Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.

Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunian dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.



Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.

Oleh itu,sebagai umat islam wajib keatas kita untuk mempercayai alam ghaib dan makhluk-makhluk ghaib kerana mempercayai alam ghaib adalah salah satu rukun iman.Selain itu kewujudan jin ini juga turut dinyatakan di dalam Al-Quran.

Bagaimana Menghindari Daripada Tersesat Ke Alam Bunian?

Pasti ramai di antara kita semenjak kecil diajar untuk meminta izin daripada 'penunggu' apabila kita tumpang lalu atau tumpang buang air kencing di kawasan hutan, misalnya. "Atuk, cucu tumpang kencing" atau "atuk, anak cucu tumpang lalu" seolah-olah dah jadi mantra kepada kita. Pernahkah kita terfikir kepada siapa kita tujukan ayat yang kita baca itu?

Begitulah juga amat kerapnya kita mendengar kisah orang kita diculik masuk ke alam bunian kemudian hilang beberapa hari sebelum muncul semula tiba-tiba.

Apakah ada kaitan kedua-dua situasi tersebut?

Sebenarnya ada. Kita perlu memahami dahulu satu perkara terlebih dahulu. Siapakah penduduk asal bumi?

Penduduk bumi sebelum manusia adalah kaum yang senantiasa bergaduh dan melakukan angkara. Ada disebut di dalam Al-Quran mengenai perkara tersebut dan majoriti Ulama' sepakat menyatakan penduduk bumi sebelum manusia adalah kaum Jin.

Sebelum Nabi Adam diturunkan ke bumi, kaum Jin yang menjadi penduduk bumi telah diusir supaya mereka berpindah ke bahagian bukit dan lautan di bumi supaya kaum manusia melalui Nabi Adam a.s dapat menjadi khalifah di bumi.

Apa kaitan semua ini dengan bunian atau anak cucu tumpang lalu?Sebenarnya, untuk perlindungan kita, Rasulullah saw. telah pun mengajarkan kita satu doa khas untuk melindungi diri kita daripada gangguan jin di bukit dan di lautan.

Doa itu berbunyi;

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakanNya” dan “Ya Allah, aku berlindung pada‐Mu dari bisikan‐bisikan syaitan. Dan aku berlindung pada‐Mu, dari kedatangan mereka padaku.”

Amatlah elok diamalkan dua doa tersebut sebelum kita mahu memasuki dua jenis kawasan tersebut untuk mengelakkan gangguan penghuni asal bumi sebelum manusia. Bukannya memohon kebenaran atuk nenek yang kita sendiri tak tahu atuk nenek siapa.

Harapnya dengan mengamalkan dua doa ini, kejadian hilang di hutan dan masuk ke alam bunian dapat dielakkan.Hakikatnya, kita berkongsi dunia ini dengan makhluk-makhluk lain yang kita sendiri tidak pasti kewujudannya.

Adakah boleh kita menafikan kewujudan makhluk-makhluk lain selain manusia di muka bumi kita? Mereka benar ada.Sebagai umat Islam, amat beruntung kerana kita dibekal ilmu tentang fizikal dunia serta ilmu tentang spiritualnya.

Belajarlah bersama-sama semoga kita sama dapat manfaatnya.

Comments